Susu kambing dan Alahan

March 15 2017

Seringkali kita mendengar perkataan alahan atau alergi, namun sejauh mana kefahaman kita tentang alahan?. Alahan secara mudahnya dapat difahami sebagai suatu reaksi yang berlebihan dari sistem pertahanan tubuh badan apabila badan terdedah kepada alergen (bahan yang membangkitkan reaksi).

Tindakbalas ini menghasilkan histamin dan kimia-kimia lain yang menyebabkan simptom seperti gatal-gatal, batuk-batuk dan berhingus, ruam, sukar bernafas, gatal pada mata, bengkak di bahagian tertentu, cirit-birit, dan lain-lain lagi.
Alahan/ alergi ini juga boleh berlaku dalam banyak keadaan (melalui bahan yang disedut, dimakan atau yang hanya disentuh) dan ia bergantung kepada individu. Setiap individu mempunyai kesan dan bentuk alahan yang berbeza di antara satu sama lain. Beberapa contoh keadaan berlakunya alahan seperti alahan terhadap makanan, alahan terhadap ubat, alahan terhadap racun serangga, alahan terhadap musim, alahan terhadap haiwan dan sebagainya.

Adakah susu kambing tidak memberi alahan?

Susu kambing hanya mengandungi jumlah protein alahan kasein iaitu alpha-S1 yang sangat minimum berbanding susu lembu. Protein kasein susu kambing adalah lebih menyerupai protein kasein susu ibu. Justeru itu, susu kambing kebiasaannya tidak akan menghasilkan alahan/ alergi kepada si peminumnya, terutama di kalangan kanak-kanak. Kebanyakan ibu-ibu juga yakin bahawa anak-anak mereka dapat bertoleransi dengan susu kambing.
Terlalu banyak kekeliruan yang berlaku di kalangan masyarakat kita apabila memperkatakan tentang ketidaktoleransi terhadap laktosa (lactose intolerance) dan alahan terhadap protein susu (milk allergy).

Laktosa adalah sejenis gula yang terdapat di dalam susu mamalia (seperti susu lembu, susu kambing, susu ibu). Untuk mencernakan gula laktosa ini, badan memerlukan sejenis enzim yang dinamakan enzim laktos. Ketidaktoleransi terhadap laktosa berlaku apabila badan seseorang itu tidak dapat menghasilkan enzim tersebut atau enzim tersebut dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit. Keadaan ini berlaku sepanjang hayat dan biasanya dilihat berlaku dalam kalangan kanak-kanak & remaja. Namun, ketidaktoleransi terhadap laktosa ini juga boleh dijumpai dalam kalangan orang dewasa. Kandungan laktosa di dalam susu kambing adalah lebih rendah berbanding susu lembu (nisbah 4.1 % versus 4.7% -sumber DrSears). Justeru itu, berdasarkan tinjauan yang dibuat terhadap beberapa individu yang mempunyai ketidaktoleransi laktosa terhadap susu lembu, tidak menunjukkan simptom ketidaktoleransi apabila diberikan susu kambing.

Manakala istilah alahan terhadap protein susu pula berlaku apabila badan seseorang menghasilkan respon imunisasi yang berlebihan apabila mengambil susu. Keadaan ini banyak berlaku apabila seseorang mengambil susu lembu. Ia juga boleh berlaku pada susu kambing, namun peratusnya adalah rendah. Seseorang yang mengalami masalah ini akan mempunyai masalah berkaitan pencernaan, muntah, masalah sistem pernafasan dan kulit serta isu penyerapan nutrisi oleh tubuh. Hasil kajian mendapati bahawa susu kambing adalah lebih kurang risiko alahan/alergi berbanding dengan susu- susu yang lain. Sekiranya, alahan/alergi ini berlaku, kita hendaklah berjumpa segera dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang selanjutnya.

Artikel di tulis oleh:

Dr Zara
i-Sihat Susu Kambing